Tradisi Hospitaliti Muslim
Dengan pertumbuhan pesat pengunjung muslim, hotel kini mengiktiraf kepentingan mereka.
Dari permulaannya di tanah Arab, Islam sentiasa menekankan kepentingan memuliakan tetamu sebagai antara teras dalam ajarannya. Kini, populasi pelancong Muslim kian berkembang, mendorong sektor perhotelan untuk menetapkan pasaran yang signifikan dan melaksanakan penyesuaian bagi memenuhi keperluan mereka.
Populasi Muslim secara global dijangka mencecah 2.2 bilion menjelang tahun 2030, peningkatan sebanyak 26% daripada 1.7 bilion pada tahun 2014. Hampir 60% daripadanya tinggal di Asia, terutamanya di Indonesia yang merupakan negara berpopulasi Muslim tertinggi di dunia. Maka, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila industri pelancongan mula mengelaskan pelancong Muslim sebagai sektor utama yang istimewa.
Golongan Muslim secara amnya, mahukan produk dan perkhidmatan yang selari dengan pegangan agama mereka. Justeru, hotel mesra Muslim dan restoran yang menyediakan sajian halal dilihat meraih keuntungan memberangsangkan kesan daripada pertumbuhan populasi tersebut.
Satu kajian oleh MasterCard dan pakar pelancongan Islamik, CrescentRating, meramalkan pada tahun 2014, pasaran pelancongan dan hospitaliti akan mencecah AS$145 bilion. Berdasarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), populasi Muslim sedunia akan mengalami pertumbuhan kira-kira dua kali ganda lebih daripada jumlah populasi orang bukan Islam untuk tempoh dua dekad akan datang.
Dalam pelancongan sahaja, lebih 100 juta Muslim membentuk 10% daripada ekonomi pelancongan dunia, dan dijangka akan meningkat kepada 150 juta menjelang tahun 2020 dengan ramalan perbelanjaan sehingga AS$200 bilion. “Pelancongan melibatkan Muslim akan terus menjadi salah satu sektor pelancongan yang paling pantas berkembang di dunia,” demikian butiran dalam laporan tersebut.
Menurut laporan oleh Travel Trade Gazette pada tahun 2013, pelawat dari Timur Tengah sehinggalah Asia, juga berbelanja besar dan tinggal untuk tempoh yang lebih panjang berbanding pelawat lain.
Untuk tahun kelima berturut-turut, MasterCard dan CrescentRating menamakan Malaysia sebagai destinasi teratas dalam Indeks Pengembaraan Muslim Global pada tahun 2014, manakala Indonesia dan Brunei masing-masing menghuni tangga ke-6 dan ke-10.
Kajian tersebut turut menyenaraikan Singapura dan Thailand sebagai dua negara bukan Islam terbaik di Asia yang memenuhi kehendak pelawat Muslim. Begitu juga Jepun yang sangat prihatin terhadap layanan kepada kumpulan pelawat beragama Islam.
Demografik umat Islam juga berubah, sama seperti penganut agama lain. Pengguna Muslim pada masa kini kebanyakannya lebih muda, berpengetahuan dan berminat terhadap kemudahan, pilihan dan kualiti, tetapi masih memilih produk dan perkhidmatan yang menepati aturan kepercayaan agama mereka.1 Pelawat Muslim yang mewah juga sanggup membayar untuk makanan premium, sekali gus memberi peluang kepada mereka mencuba kelainan sajian antarabangsa.
Keutamaan terpenting yang dititikberatkan para pelawat Muslim ialah makanan yang halal. Halal merupakan status makanan melibatkan haiwan yang disembelih mematuhi syariat Islam dengan pengharaman daging khinzir, lemak khinzir atau alkohol di dalam masakan. Singapura mengungguli senarai negara bukan Islam yang menawarkan akses terhadap makanan halal terbaik dengan lebih 10,000 restoran yang diperakui halal. Sementara itu, menurut Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, Malaysia memiliki kemungkinan untuk menjadi hab dagangan halal ASEAN.2
Biarpun ia bukan sebuah trend yang popular, tetapi makanan halal sebenarnya sedang mengalami pertumbuhan yang pantas. Unit Perisikan Ekonomi (EIU) meramalkan, menjelang tahun 2030, pasaran halal global akan mencecah AS$10 trilion berbanding hanya AS$1 trilion pada tahun 2014. Bilionair Malaysia, Halim Saad, menggelar halal sebagai ‘jenama terbesar dan tertua di dunia.’
Meskipun makanan halal sering dikaitkan dengan penyediaan berpandukan standard yang ketat, tetapi kebanyakan orang bukan Islam menganggapnya ia sebagai satu jaminan terhadap kualiti. Majalah Asia Pacific Food Industry pula mendefinisikan halal sebagai sebuah ‘arus perdana baharu.3 Sepertimana sajian vegetarian mengatasi menu berdaging, ataupun roti bebas gluten yang lebih digemari individu yang prihatin terhadap kesihatan, begitu juga makanan halal yang berjaya mempengaruhi individu di luar kelompok sasaran asalnya.
“Perakuan halal memberikan sesebuah perusahaan pasaran yang lebih kompetitif. Ia meluaskan capaian kepada pengguna sekali gus meningkatkan jualan serta membolehkan produk dieksport ke lebih banyak negara dalam rantau yang sama,” jelas Pensyarah Kanan Sains dan Teknologi Makanan di Singapura, Leong Lai Peng.
Tahun lalu, kumpulan hotel Archipelago di Indonesia bekerjasama dengan laman web carian hotel berpangkalan di Malaysia, LagiSatu, melancarkan Salam Standard; senaraian hotel mesra pelawat Muslim yang diperakui bagi memudahkan pelawat beragama Islam datang ke negara tersebut dengan penuh keyakinan.4
Setakat ini, lebih 10,000 hotel telah meraih akreditasi Salam Standard. Antaranya ialah AccorHotels, Mövenpick Hotels and Resorts, Rotana Hotels and Resorts, Anantara Hotels and Resorts, Tauzia Hotel Management, dan Berjaya Hotels and Resorts.
Pelawat muslim juga diramalkan akan membentuk suku daripada belanjawan pengembaraan global, dan pertumbuhannya diyakini akan terus meningkat.
1 http://www.apfoodonline.com/index.php/features/item/335-halal-the-new-mainstream
2 http://www.healthcareasia.org/2015/asean-has-potential-to-become-halal-hub-malaysian-pm/
3 http://www.apfoodonline.com/index.php/features/item/335-halal-the-new-mainstream
4 http://www.traveldailymedia.com/229541/archipelago-improves-services-for-muslim-travellers/
Kembali kepada Di Bawah Topi Chef
Ganjaran Menanti
- Peluang untuk mendapatkan sampel percume
- Resipi – resipi terbaru dan eksklusif dari Chef
- Perkongsian Inspirasi, tren dan tips menarik
- Diskaun untuk pembelian secara atas talian