Tingkatkan Persembahan Restoran Anda
Dapatkan tip tentang bagaimana untuk menyediakan susunan makanan yang lebih bergaya.
Pepatah moden mengatakan, “Dari mata turun ke perut”. Bagi pakar makanan, persembahan hidangan merupakan kemahiran yang perlu dikuasai. Dan bagi penggemar makanan am, sajian yang cantik dihidang merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Butir-butir halus membawa perbezaan yang besar dalam memenangi hati (dan perut) para pelanggan anda.
1. Cantik di mata, sedap di mulut
Persembahan hidangan usah dilihat dari sudut hiasan semata-mata. Ia juga mesti enak dan lazat. Cuba gabungan rasa dan tekstur yang tampak berlawanan, tetapi serasi berpasangan. Pinggan yang melimpah-limpah mencolok mata, jadi pastikan ada ruangan yang selesa antara elemen-elemen hiasan anda. Sos-sos lebih sesuai dihidangkan di samping daripada dituangkan terus ke atas makanan supaya makanan tidak lemau dan layu.
2. Kecekapan melebihi gaya
Tak salah nak berhias itu ini dengan mahakarya anda, tetapi perlu sentiasa beringat yang masa itu emas, terutamanya semasa waktu makan tengah hari dan malam yang sibuk.
Cuba hidangkan juadah yang seimbang yang mengandungi tidak lebih daripada empat elemen—untuk menjimatkan masa penyediaan. Elemen-elemen ini termasuklah kanji, protein, sayuran, dan sos.
Sebagai hiasan, elakkan daripada menggunakan bahan-bahan yang tidak boleh dimakan. Sebaliknya gunakan hijau-hijauan yang mudah dan ringkas—cantik dan sihat dimakan.
3. Semua orang suka warna
Dalam era digital ini, siapa yang tak suka merakam pengalaman dan makanan melalui kanta kamera telefon bimbit? Berikan mereka memori yang tak mudah dilupa dengan menyediakan juadah berwarna-warni yang membuka selera.
Pastikan juadah anda mengandungi keseimbangan warna. Dan warna hijau biasanya warna yang paling terserlah bagi kebanyakan orang bila melihat dan merakam makanan.
4. Susunan menu yang terbaik
Jika perkara pertama dalam menu anda yang dilihat oleh pelanggan ialah juadah yang mahal, mereka biasanya akan hilang minat untuk masuk ke restoran anda. Sebaliknya, jika terlalu murah, mereka mungkin akan menganggap kualiti masakan anda juga “murah”.
Cara terbaik? Dahului dengan juadah yang disyorkan oleh chef anda atau yang paling popular di kalangan para pelanggan, berserta gambar juadah-juadah tersebut.
5. Rekaan menu ialah pelaburan masa depan
Menu yang menarik pasti menggamit pelanggan untuk berkunjung ke restoran anda. Dapatkan khidmat pereka grafik profesional yang pakar dalam memilih, mereka, dan menyusun reka bentuk huruf, kombinasi warna, serta ayat-ayat atau nama-nama juadah yang memukau (dah tentunya dengan kerjasama bersama chef-chef anda). Pelaburan hari ini, pulangan hari esok.
Kembali kepada Perniagaan Makanan 101
Rencana berkaitan
Ganjaran Menanti
- Peluang untuk mendapatkan sampel percume
- Resipi – resipi terbaru dan eksklusif dari Chef
- Perkongsian Inspirasi, tren dan tips menarik
- Diskaun untuk pembelian secara atas talian