Dari Jalanan Ke Atas Meja
Makanan jalanan semakin popular. Ketahui bagaimana untuk mengikuti trend ini dan memenuhi kehendak pelanggan
Makanan jalanan semakin popular seiring dengan keterbukaan cita rasa masyarakat dan chef selebriti yang menggemari keenakannya yang asli dan autentik. Maka tercetus trend di hotel-hotel dengan penyediaan menu berinspirasikan asimilasi keaslian makanan jalanan dan kesederhanaan sajian tradisional.
Makanan jalanan kini mengalami transformasi status; dari sajian pinggir jalan, ke restoran hotel. Peralihan positif tersebut digerakkan oleh chef-chef terkemuka dan orang ramai yang menggemari rasanya yang jujur, ringkas dan tersendiri.
Tahun lalu, program Chew On This yang disiarkan Fox News, melaporkan bahawa Gordon Ramsay dan Anthony Bourdain menggelar makanan jalanan di Singapura sebagai ‘trend makanan terhangat untuk tahun 2016.’ Bagaimanapun, makanan jalanan sebenarnya telah diketengahkan sejak beberapa tahun yang lalu. Chef dari Australia, David Thomson misalnya, menjadikan makanan jalanan Thailand sebagai antara menu di restoran mewah miliknya, Long Chim yang beroperasi di Singapura. Susan Feniger, chef yang sering muncul di kaca TV pula membuka restoran Street di Los Angeles, pada tahun 2009 selepas jatuh cinta terhadap makanan yang dibeli di tepian jalan ketika berkunjung ke India.
Makanan jalanan telah mengatasi populariti sajian mewah, kerana orang ramai mula muak dengan menu bertaraf lima bintang.
Sejak kebelakangan ini, ia telah berkembang menjadi satu trend dalam kalangan penginap di hotel. Chef Eksekutif di InterContinental Bangkok, Leslie Stronach, antara yang mengagumi tarikan makanan jalanan di Bangkok, dan hal tersebut turut diakui oleh Pengarah Kumpulan Makanan dan Minuman, Absolute Hotel Services, Martin Faist, yang berpangkalan di ibu negara Thailand itu. Pengiktirafan juga mula berkuatkuasa tahun lalu apabila Michelin melancarkan panduan (tanpa penganugerahan bintang) kepada makanan jalanan di Hong Kong dan Macau.
Makanan jalanan berkisar tentang kepelbagaian dan kesegaran serta dihidangkan dengan ringkas. Barangkali penjaja di jalanan hanya menguasai satu resepi, tetapi menjelmakan variasi sajian eksotik dari seluruh dunia bukan perkara yang mustahil kepada tukang masak profesional. Perisa juga sentiasa diubahsuai bagi membolehkan masakan Vietnam digabungkan bersama baguette Perancis untuk menghasilkan banh mi (sejenis sandwic tempatan), dan memungkinkan taco Mexico untuk disediakan bersama rempah-ratus Asia.
Popularitinya juga disumbangkan oleh nilai keseronokan. Para pelancong berasa lebih teruja apabila dapat makan bersama-sama orang tempatan; duduk mencangkung di atas kerusi plastik di tepi pedati penjaja jalanan di Hanoi sambil menikmati banh mi misalnya, adalah lambang kebanggaan kepada kelompok backpacker. Justeru, apabila tetamu di hotel menemukan sajian jalanan yang berkualiti dihidangkan di meja bufet, secara automatik, ia akan dikaitkan dengan keseronokan, kenikmatan dan keterujaan.
Makanan jalanan turut menerima publisiti yang luar biasa. Singapura misalnya, melangsungkan Kongres Makanan Jalanan Sedunia tahunan, manakala United Kingdom mempunyai ‘Oscars’ tersendiri yang dikenali sebagai Anugerah Makanan Jalanan. Bourdain Market, yang dinamakan sempena chef TV ternama, Anthony Bourdain, yang kerap mengelilingi dunia pula sedang mencari rakan kongsi dan pelabur bagi membawa masuk makanan jalanan berkualiti tinggi ke New York.
Makanan jalanan disediakan bagi memenuhi kehendak masyarakat secara menyeluruh kerana ia dijual pada harga yang murah dengan penyediaan yang efisien. Begitupun ia tidak hanya digemari golongan tertentu, malah berjaya menambat selera individu dari latar belakang yang berbeza. Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Makanan dan Agrikultur mendapati seramai 2.5 bilion orang menikmati makanan jalanan setiap hari. Keupayaannya untuk menembusi cita rasa orang kurang berkemampuan dan kaya secara sama rata membuktikan bahawa ia mampu diadaptasi dengan sempurna oleh tukang-tukang masak profesional.
Bagaimanapun, kelebihan hotel adalah jaminannya terhadap tahap kebersihan makanan yang disediakan. Pada masa dahulu, para penjaja akan menjunjung dulang dan bakul berisi makanan di atas kepala (berpotensi untuk dimakan burung-burung yang melintasi udara), namun kesedaran terhadap kebersihan dalam kalangan penjaja makanan jalanan juga kini menjadi keutamaan. Maka, secara tidak langsung, ia menyumbang kepada keyakinan orang untuk menikmati menu jalanan berserta jaminan yang diberikan dapur hotel.
Kembali kepada Di Bawah Topi Chef
Rencana berkaitan
Ganjaran Menanti
- Peluang untuk mendapatkan sampel percume
- Resipi – resipi terbaru dan eksklusif dari Chef
- Perkongsian Inspirasi, tren dan tips menarik
- Diskaun untuk pembelian secara atas talian