7 jenis pisau yang perlu dimiliki oleh seorang chef masakan Barat
Dapatkan 7 jenis pisau ini dan anda bakal menguasai masakan Barat di dapur
Selain daripada kemahiran yang pakar, terdapat satu set peralatan yang membezakan seorang chef dengan tukang masak amatur. Sila lihat senarai semak kami untuk ketahui samada anda memiliki pisau-pisau yang diperlukan untuk menghasilkan semua hidangan Barat yang diminati oleh pelanggan anda.
Pisau Chef
Pisau ini ialah senjata seorang chef yang mendefinisikan peribadinya seperti tatu pada kulit seseorang. Pisau serba guna ini sangat cemerlang untuk pelbagai fungsi memasak seperti menghiris, mencincang dan memotong daging. Ia juga teguh untuk memecahkan tulang-tulang. Pastikan anda menguji beberapa bilah sebelum memilih satu untuk anda. Pisau ini seharusnya selesa untuk dipegang dalam masa yang lama dan mempunyai berat yang sesuai untuk genggaman anda supaya anda selesa dengan aksi memotong yang berulang-ulang.
Ukuran kepanjangan biasa: 6 – 12 inci
Pisau Sayur
Pisau sayur adalah alat yang kecil untuk memudahkan kerja memotong, mencincang dan menghiris buah-buahan serta sayur-sayuran. Ia cukup sesuai untuk kerja-kerja yang lebih halus dan memerlukan kecepatan dan sentuhan yang ringan. Ini akan menjimatkan masa anda ketika membuat prapenyediaan. Cuba amalkan gerakan yang berirama dan elakkan daripada terlalu menekan pisau kerana anda mungkin terluka bila pergerakan anda terlalu cepat.
Ukuran kepanjangan biasa - 2.5 hingga 4 inci
Pisau Utiliti
Keliru memilih pisau yang mana untuk digunakan pada bahan-bahan yang lain? Pisau utiliti ini cukup versatil dan lebih kecil dari pisau chef tapi lebih besar dari pisau pengupas untuk membolehkan anda memotong pelbagai jenis buah dan sayuran. Juga sesuai untuk memotong sandwic.
Ukuran kepanjangan biasa - 4 ke 7 inci
Pisau Roti
Tiada persoalan tentang fungsi pisau ini. Kebanyakan restoran barat menghidangkan roti dalam pelbagai bentuk maka sebilah pisau roti yang baik adalah sangat penting. Kebanyakan pisau roti mempunyai mata pisau yang bergerigi untuk memotong
kulit roti yang tebal dan juga membelah roti lembut tanpa merosakkan bentuknya. Pisau roti secara amnya susah untuk ditajamkan. Ini bermakna anda mungkin perlu menukar pisau anda selang beberapa tahun.
Ukuran kepanjangan biasa: 6 – 10 inci
Pisau Daging
Direka untuk memotong nipis kepingan daging yang dimasak, pisau daging ialah pisau yang besar dengan mata pisau yang panjang untuk memotong bersih pelbagai jenis ayam, ham dan daging panggang. Ia adalah pisau yang wajib ada setiap kali musim perayaan di akhir tahun.
Ukuran kepanjangan biasa: 8 hingga 15 inci
Pisau Penyisih
Pisau penyisih mirip bentuk kepala ikan jerung dengan bilah pisau yang pipih dan hujung pisau yang sangat tajam. Strukturnya direka cekap untuk membuang kulit dan tulang. Perhatikan perbezaan dua jenis pisau penyisih – yang lebih fleksibel adalah untuk ikan manakala yang lebih keras sesuai untuk daging.
Ukuran kepanjangan biasa: 5 – 6 inci
Besi Pengasah
Walaupun ini bukan pisau, namun besi adalah antara peralatan utama dalam koleksi pisau dapur anda. Biasanya ia diperbuat dari keluli atau keluli berlian, ia digunakan untuk menajamkan pisau yang menjadi tumpul dari kerja-kerja seharian. Memastikan pisau anda sentiasa dalam keadaan yang terbaik bukan sahaja penting untuk penyediaan makanan tapi ia membantu mengelakkan dari berlakunya kemalangan yang tak diingini di dapur.
Kembali kepada KNORR WORLD CUISINES
Rencana berkaitan
Ganjaran Menanti
- Peluang untuk mendapatkan sampel percume
- Resipi – resipi terbaru dan eksklusif dari Chef
- Perkongsian Inspirasi, tren dan tips menarik
- Diskaun untuk pembelian secara atas talian