11 Juadah Berbuka Puasa Paling Popular di Bazar Ramadhan
Ketahui bagaimana anda pastikan pelanggan dan penggemar makanan akan kembali meminta lagi!
Bazar Ramadhan adalah destinasi popular untuk penggemar makanan, sama ada mencari sesuatu yang mudah dimakan atau sesuatu yang lain daripada lain. Melihat ramai pelanggan berkumpul dan berpeluh dalam mencari makanan lazat bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Daripada yang klasik hinggalah ke hidangan baru, pastinya ada makanan untuk anda semua! Inilah di antara juadah berbuka puasa paling popular di bazar Ramadhan:
1. Kepak Ayam BBQ
Suatu pemandangan yang pastinya ikonik adalah melihat deretan kepak ayam panggang berwarna merah menyala di bazar Ramadhan. Baunya yang harum merebak ke udara akibat minyak yang menitik ke atas bara arang di bawah pemanggang, mampu menggoda selera. Makanan yang ringkas ini membuka peluang untuk tukang masak menyediakannya dalam pelbagai cara yang kreatif untuk menarik pelanggan anda. Tidak hairanlah kepak ayam menjadi antara hidangan paling popular sempena bulan Ramadhan.
2. Makanan bergoreng
Rakyat Malaysia dan makanan bergoreng ibarat lagu dan irama – tidak dapat dipisahkan. Juadah kegemaran seperti pisang goreng, kerepek dan cucur udang adalah makanan di bazar Ramadhan yang wajib ada. Sajian-sajian ini adalah pembuka selera yang ideal untuk berbuka puasa. Itulah sebabnya ia amat popular di kalangan ramai orang.
3. Murtabak
Pengaruh Timur Tengah telah membanjiri Malaysia dengan pelbagai juadah yang enak-enak. Di antaranya adalah murtabak, sejenis lempeng yang berintikan daging atau ayam cincang, di masak bersama telur, bawang putih dan bawang besar. Lempeng ini kemudiannya dilipat dan digoreng di atas kuali leper sehingga berwarna perang keemasan. Bauan yang menerjah selera ini pastinya menarik pelanggan yang mahu berbuka puasa datang ke gerai anda.
4. Sate
Sejenis juadah bazar Ramadhan yang biasa dilihat, sate mempunyai keseimbangan yang sempurna di antara kelembutan dagingnya yang dipanggang dengan lemaknya yang cair dalam satu pencucuk lidi. Jika dimasak dengan betul, aromanya pasti membuatkan ramai orang beratur panjang. Jangan dilupakan juga kawan-kawan si sate – kuah kacang lazat, timun dan bawang.
5. Kebab
Kepada mereka yang tidak tahu apa yang hendak dibeli di bazar Ramadhan, kebab sering menjadi pilihan mudah. Daging di dalamnya kekal lembut dan tidak terlebih masak kerana ia dibakar lapisan demi lapisan. Ia biasanya diapit dengan roti pita yang lembut dan hangat selain ditambah dengan sayur-sayuran dan sos cili serta mayonis.
Namun, ada juga bahan-bahan lain termasuklah kuah yang boleh membangkitkan selera pelanggan anda yang kelaparan. Antara bahan-bahan yang anda boleh gunakan secara kreatif termasuklah buah-buahan seperti mangga dan nanas, atau taburan keju Parmesan untuk menaikkan rasa dan kepekatan patinya.
6. Ayam Percik
Siapa yang tak kenal ayam percik? Ayam biasa bertukar luar biasa dengan perapan percik. Apa rahsianya? Ayam ini diperap semalaman dengan santan, serbuk kunyit, serai, herba dan rempah sebelum dicucuk dan dipanggang di atas arang panas menyala. Penyediaannya mungkin agak leceh tetapi hasilnya memberangsangkan. Lihat sajalah pelanggan anda beratur, mata terbeliak, air liur meleleh. Pastinya menyelerakan!
Kuih muih bazar Ramadhan yang paling popular
Sungguh pun sajian yang diterangkan di atas adalah makanan yang paling popular di bazar Ramadhan, jangan dilupai kuih-muih.
Kuih muih juga menjadi teraju utama di bulan Ramadhan kerana ramai yang memilih untuk berbuka puasa dengan sesuatu yang berbentuk kecil dan mudah ditelan sebelum menerjah makanan yang lebih berat. Ada juga di antara pelanggan yang sudah pun menyediakan sajian utama di rumah dan hanya ke bazar mencari pencuci mulut yang melengkapi sajian utama mereka.
Di antara pelbagai jenis kuih muih bazar Ramadhan, inilah yang paling popular:
1. Kuih Tepung Pelita
Selepas sehari suntuk bekerja di rumah atau di pejabat, apa yang lebih baik daripada menikmati kuih tepung pelita yang cair di mulut? Kuih lembut ini biasanya ditemui di dalam balutan berbentuk empat segi yang diperbuat daripada daun pandan atau pisang yang akan meningkatkan lagi aroma kuih ini.
2. Apam Balik
Apam balik juga dikenali dengan banyak nama lain seperti terang bulan atau martabak manis. Lempeng tebal dan kenyal ini memberikan rasa yang manis dan savuri sekaligus.
Walaupun apam balik tradisional dipenuhi dengan inti kacang, kini terdapat variasi berbeza yang menawarkan rasa yang memukau pelanggan dan tekstur yang memenuhi selera mereka.
3. Lompat Tikam
Kuih kegemaran ramai yang hanya boleh ditemui pada bulan Ramadhan, Lompat Tikam wajib disenarai pendekkan. Diperbuat daripada tepung beras dan santan, sajian tradisional ini selalunya dimakan bersama gula Melaka.
Sementara rakyat Kelantan bangga dengan versi Lompat Tikam mereka yang menggunakan beras pulut merah, kedua-dua versi kekal sebagai kegemaran ramai bagi mereka yang ingin berbuka puasa di bazar Ramadhan.
4. Putu Bambu
Satu lagi pencuci mulut yang manis, Putu Bambu juga diperbuat daripada tepung beras, tetapi diwarnai hijau menggunakan daun pandan dan dikukus di dalam tiub buluh. Selepas disediakan, juadah ini kemudiannya dinikmati dengan kelapa kering yang memberikan para pelanggan tekstur berbeza dalam satu suapan.
5. Cara Berlauk
Kehadiran anda ke bazar Ramadhan tidak lengkap tanpa membeli lempeng kecil savuri ini. Terdiri daripada bancuhan yang ringan, rasanya dipertingkatkan dengan kari daging lembu cincang sebagai inti, yang menjadikan pelanggan datang kembali.
Sebagai seorang usahawan makanan, kami mengesyorkan anda untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan anda dari semasa ke semasa, agar anda tahu sajian mana yang terhangat di pasaran, dan yang mana perlukan perubahan. Ingatlah jika makanan itu lazat dan harganya berpatutan, lebih ramai lagi pelanggan yang akan datang!
Kembali kepada TRADISI RAMADAN
Rencana berkaitan
Ganjaran Menanti
- Peluang untuk mendapatkan sampel percume
- Resipi – resipi terbaru dan eksklusif dari Chef
- Perkongsian Inspirasi, tren dan tips menarik
- Diskaun untuk pembelian secara atas talian